Monday 30 May 2011

Kata kerja tak transitif yang perlu disertai awalan meN

Dalam bahasa Melayu, terdapat sesetengah kata kerja tak transitif yang perlu disertai awalam meN. Di sini akan saya bincangkan empat daripadanya.

1 melompat
Perkataan ini perlu didahului awalan meN supaya betul.
a) Adik suka lompat di atas lantai. [salah]
Adik suka melompat di atas lantai. [betul]
b) Jangan lompat di sana sini kerana lantainya licin. [salah]
Jangan melompat di sana sini kerana lantainya licin. [betul]

2 menari
Kata di atas juga perlu disertai awalan meN.
a) Kakak suka tari pada masa lapangnya. [salah]
Kakak suka menari pada masa lapangnya. [betul]
b) Jangan tari di atas lantai yang licin ini. [salah]
Jangan menari di atas lantai yang licin ini. [betul]

3 membazir
Kata kerja tak transitif di atas akan dianggap betul jika didahului awalan meN.
a) Jangan bazir semasa menggunakan air. [salah]
Jangan membazir semasa menggunakan air. [betul]
b) Adik suka bazir semasa menggunakan kertas. [salah]
Adik suka membazir semasa menggunakan kertas. [betul]

4 menangis
Kata 'menangis' tidak betul jika tidak disertai awalan meN.
a) 'Usah tangis lagi, adik," kata Ali kepada adiknya. [salah]
'Usah menangis algi, adik," kata Ali kepada adiknya. [betul]
b) Aminah suka tangis apabila mengenangi arwah ibunya. [salah]
Aminah suka menangis apabila mengenangi arwah ibunya. [betul]

Yang berikut ialah jawapan untuk Latihan 4

Latihan 4 [Jawapan]
Isikan kata 'pinjam' atau kata berimbuhan yang melibatkan 'pinjam' ke dalam tempat-tempat kosong di bawah ini:
1 Kamera itu akan saya __pinjamkan______ kepada adikku.
2 Novel ini saya __pinjam____ daripada Azman.
3 Zamri ___dipinjami_________ kawannya dua ringgit untuk membeli makanan di kantin.
4 __Peminjaman_____ alat perakam video itu akan saya lakukan secepat mungkin.
5 Buku ceritaku __dipinjam___ oleh anak jiran kelmarin.
6 Basikalku ___dipinjamkan____ oleh abang kepada kawannya.
7 Saya akan __meminjami____ Ali buku nota Sains kerana dia tidak hadir ke sekolah kelmarin.
8 Hassan akan saya __pinjami____ kamera ini supaya dia dapat mengambil gambar untuk projeknya.
9 Beg ini akan saya ___pinjamkan___ kepada Hasnah.
10 Johari __meminjam____ basikal daripada kawannya.

Thursday 26 May 2011

Penggunaan kata berimbuhan yang melibatkan 'pinjam'

Saya akan membincangkan penggunaan 'pinjam' and kata berimbuhan yang berkaitan dengannya dalam pos pada hari ini.

Untuk memudahkan pelajar mengingat penggunaannya, saya akan menggunakan formula.

1 pinjam
Formula: Benda + akan + saya + pinjam + dari +tempat /daripada+ orang
Contoh: Buku itu akan saya pinjam dari perpustakaan.
Basikal itu akan saya pinjam daripada anak jiran saya.

2 meminjam
Formula: Orang pertama+ akan + meminjam + benda + dari +tempat /daripada+ orang kedua
Contoh: Saya akan meminjam buku itu dari perpustakaan.
Johari akan meminjam basikal itu daripada Beng Seng.

3 meminjamkan
Formula: Orang pertama+ akan + meminjamkan +benda + kepada + orang kedua
Contoh: Ali akan meminjamkan komputer ribanya kepada kakaknya.

4 meminjami
Formula: Orang pertama+ akan +meminjami + orang kedua+ benda
Contoh: Saya akan meminjami adik kamera saya.

6 dipinjamkan
Formula: Benda + akan + dipinjamkan+ oleh + orang pertama + kepada + orang kedua
Contoh: Buku itu akan dipinjamkan oleh Ahmad kepada kawannya.

7 dipinjami
Formula: Orang pertama+ akan + dipinjami + orang kedua + benda
Contoh: Johari akan dipinjami kawannya wang seringgit.

8 pinjami
Formula: Orang+ akan + saya / awak + pinjami + benda
Contoh: Azmi akan saya pinjami buku saya ini.
Johari akan awak pinjami notamu.

9 pinjamkan
Formula: Benda + akan + saya /awak + pinjamkan+ kepada + orang
Contoh: Buku itu akan saya pinjamkan kepada Lina.
Basikal itu akan awak pinjamkan kepada abangku.

10 peminjaman
Formula: a) Peminjaman + wang / benda + dari + tempat / daripada + orang + akan + saya / awak lakukan
b) Peminjaman + wang / benda + dari + tempat / daripada + orang + akan + dilakukan + oleh + orang
Contoh: a) Peminjaman wang dari banak itu akan saya lakukan esok.
b) Peminjaman alat sukan akan dilakukan oleh Setiausaha Sukan daripada Pengelola Stor itu.


Latihan 4
Isikan kata 'pinjam' atau kata berimbuhan yang melibatkan 'pinjam' ke dalam tempat-tempat kosong di bawah ini:
1 Kamera itu akan saya ________ kepada adikku.
2 Novel ini saya ___________ daripada Azman.
3 Zamri ____________ kawannya dua ringgit untuk membeli makanan di kantin.
4 ____________ alat perakam video itu akan saya lakukan secepat mungkin.
5 Buku ceritaku __________ oleh anak jiran kelmarin.
6 Basikalku __________ oleh abang kepada kawannya.
7 Saya akan ___________ Ali buku nota Sains kerana dia tidak hadir ke sekolah kelmarin.
8 Hassan akan saya ___________ kamera ini supaya dia dapat mengambil gambar untuk projeknya.
9 Beg ini akan saya _____________ kepada Hasnah.
10 Johari __________ basikal daripada kawannya.



Latihan 3 [Jawapan]
Isikan kata nafi 'tidak' atau 'bukan' ke dalam tempat-tempat kosong di bawah ini.
1. Gopal ___bukan________ seorang pengakap.
2 Adik ____tidak_______ suka minum air kopi.
3 Rumahnya ___tidak________ berapa jauh dari sini.
4 ___Tidak_____ benar apa-apa yang dikatakannya tadi.
5 Yang saya pegang ini ____bukan_______ telefon bimbit saya.
6 Kelakuan Aminah ___bukan_______ seperti kakaknya.
7 Novel ini _____bukan_______ oleh Shahnon Ahmad.
8 Ikan yang ditangkapnya ____tidak______ besar.
9 Hadiah ini ____bukan______ untuk saudara.
10 Kotak ini ___tidak_______ berat.

Wednesday 25 May 2011

Kata Nafi 'tidak' dan 'bukan'

Dalam pos hari ini, saya akan membincangkan penggunaan kata nafi 'tidak' dan 'bukan'.

Kata nafi 'tidak' digunakan di hadapan:
a) Frasa Kerja
Contoh: Dia tidak menyiapkan kerjanya.
(kata nafi) (frasa kerja)

b) Frasa Adjektif
Contoh: Kasut ini tidak berapa mahal.
(kata nafi) (frasa adjektif)

Kata nafi 'bukan' pula digunakan di hadapan:
a) Frasa Nama
Contoh: Orang itu bukan abang saya.
(kata nafi) (frasa nama)

b) Frasa Sendi Nama
Contoh: Surat ini bukan daripada kakak saya.
(kata nafi) (frasa sendi nama)

Latihan 3
Isikan kata nafi 'tidak' atau 'bukan' ke dalam tempat-tempat kosong di bawah ini.
1. Gopal ___________ seorang pengakap.
2 Adik ___________ suka minum air kopi.
3 Rumahnya ___________ berapa jauh dari sini.
4 ________ benar apa-apa yang dikatakannya tadi.
5 Yang saya pegang ini ___________ telefon bimbit saya.
6 Kelakuan Aminah __________ seperti kakaknya.
7 Novel ini ____________ oleh Shahnon Ahmad.
8 Ikan yang ditangkapnya __________ besar.
9 Hadiah ini __________ untuk saudara.
10 Kotak ini __________ berat.

Sekian untuk hari ini.




Sunday 22 May 2011

Perbezaan antara 'menyanyi' dengan 'menyanyikan'

Dalam halaman hari ini, saya ingin membincangkan perbezaan antara 'menyanyi' dengan 'menyanyikan'.

Perkataan 'menyanyi' bermakna 'melagukan gubahan muzik dengan suara'. Oleh sebab perkataan ini merupakan kata kerja tak transitif, tiada objek diperlukan. Lihatlah contoh-contoh yang berikut:
1 Kakak suka menyanyi semasa mandi di dalam bilik air.
2 Pelajar itu menyanyi untuk melepaskan tekanan jiwanya.
3 Kita boleh belajar menyanyi dengan mendengar lagu yang dimainkan melalui komputer.

Perkataan 'menyanyikan' pula membawa maksud 'melagukan (dengan nyanyi, iaitu gubahan muzik) dan memerlukan objek 'lagu' kerana tergolongan dalam kata kerja transitif. Contoh-contohnya adalah seperti yang berikut:
1 Abang sering menyanyikan lagu kegemarannya pada masa lapang.
2 Biduanita itu menyanyikan sebuah lagu yang mengasyikkan.

Oleh sebab itu, adalah salah jika pelajar membina ayat-ayat yang berikut:
1 Saya gemar menyanyi lagu ini.
2 Gopal menyanyi lagu itu pada hari lahirnya.

Sepatutnya ayat 1 dan ayat 2 dibetulkan seperti yang berikut:
1 a) Saya gemar menyanyikan lagu ini.
2 a) Gopal menyanyikan lagu itu pada hari lahirnya.

Saturday 21 May 2011

Perbezaan antara 'apa' dengan 'apa-apa'

Penggunaan 'apa' dan 'apa' sering menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pengguna bahasa Melayu, khasnya pelajar. Oleh sebab itu, saya akan membincangkan perbezaan penggunaan kedua-dua kata tersebut.

Penggunaan 'apa':
Perkataan 'apa' tergolong dalam Kata Ganti Nama Tanya dan Kata Tanya. Kita menggunakan 'apa' untuk menanyakan nama benda, perkara atau haiwan. Lihatlah contoh-contoh yang berikut:
1 Apakah nama pokok ini? [Menanyakan nama benda, iaitu pokok]
2 Apakah yang merunsingkan saudara? [Menanyakan perkara]
3 Apakah nama binatang itu? [Menanyakan nama haiwan]
4 Yang kaupegang itu apa? [Menanyakan nama benda]

Penggunaan 'apa-apa'
Perkataan 'apa-apa' termasuk dalam golongan Kata Ganti Nama Tak Tentu. Kita menggunakan 'apa-apa' untuk menyatakan sesuatu secara umum dan bukan tetap. Contoh-contoh penggunaannya adalah seperti yang berikukt:
1 Tiada apa-apa di dalam laci ini.
2 Belilah apa-apa yang berkenan pada hati saudara.
3 Beritahulah aku apa-apa yang awak ketahui tentang kejadian ini.

Latihan 2 [Jawaban]
Nyatakan pola ayat inti untuk ayat-ayat yang berikut:
1 Kelakuan Lisa seperti ibunya. [Frasa Nama - Frasa Sendi Nama]
2 Johari kurus. [Frasa Nama -Frasa Adjektif]
3 Buku ini buku rujukan. [Frasa Nama-Frasa Nama]
4 Ikan ini sungguh besar. [Frasa Nama-Frasa Adjektif]
5 Mereka berenang. [Frasa Nama-Frasa - Frasa Kerja]
6 Hadiah ini untuk saudara. [Frasa Nama-Frasa - Frasa Sendi Nama]
7 Meja ini daripada besi. [Frasa Nama-Frasa Frasa Sendi Nama]
8 Encik Lee tukang kayu. [Frasa Nama-Frasa - Frasa Nama
9 Ibuku sedang mencuci baju. [Frasa Nama-Frasa Kerja]
10 Novcl ini oleh Shahnon Ahmad. [Frasa Nama-Frasa- Frasa Sendi Nama]

[Catatan: seperti, untuk, dan oleh ialah kata sendi naam]

Thursday 19 May 2011

Ayat Inti

Ayat Inti ialah ayat yang paling ringkas, iaitu terdiri daripada satu subjek and satu predikat sahaja. Dalam bahasa Melayu, terdapat empat pola ayat inti.

Pola 1: Frasa Nama - Frasa Nama
Contoh: a) Saya pelajar.
b) Orang itu pegawai polis.
Penerangan: Kata Ganti Nama Diri 'Saya' ialah Frasa Nama kerana dapat bertindak sebagai Subjek dalam ayat. Begitu juga halnya dengan 'pelajar'. Dalam ayat b, 'Orang itu' dan 'pegawai polis' merupakan frasa nama juga.

Pola 2: Frasa Nama - Frasa Sendi Nama
Contoh: a) Kami dari Ipoh.
b) Surat ini daripada sahabat penaku.
Penerangan: Dalam ayat a, 'dari Ipoh' ialah frasa sendi nama kerana 'dari' ialah kata sendi nama. 'daripada sahabat penaku' juga merupakan frasa sendi nama kerana dimulai kata sendi nama 'daripada'.

Pola 3: Frasa Nama - Frasa Adjektif
Contoh: a) Mereka gemuk.
b) Baju ini terlalu mahal.
Penerangan: Kata adjektif 'gemuk' ialah frasa adjektif kerana dapat bertindak sebagai predikat. Dalam ayat b, 'terlalu mahal' ialah frasa adjektif kerana mengandungi kata adjektif 'mahal'.

Pola 4: Frasa Nama - Frasa Kerja
Contoh: a) Adikku menangis.
b) Buruh itu sedang membaiki jalan.
Penerangan: Dalam ayat a, walaupun kata kerja 'menangis' ialah satu perkataan sahaja tetapi merupakan frasa kerja kerana dapat berfungsi sebagai predikat. Dalam ayat b, 'sedang membaiki jalan' ialah frasa kerja kerana mengandungi kata kerja 'membaiki'.

Sekarang, cubalah latihan yang berikut:

Latihan 2
Nyatakan pola ayat inti untuk ayat-ayat yang berikut:
1 Kelakuan Lisa seperti ibunya.
2 Johari kurus.
3 Buku ini buku rujukan.
4 Ikan ini sungguh besar.
5 Mereka berenang.
6 Hadiah ini untuk saudara.
7 Meja ini daripada besi.
8 Encik Lee tukang kayu.
9 Ibuku sedang mencuci baju.
10 Novcl ini oleh Shahnon Ahmad.

Wednesday 18 May 2011

Kata kerja dalam ayat penyata perlu berawalan meN

Untuk hari ini, saya ingin membincangkan kesalahan penggunaan bahasa.

Biasanya, kita tidak menggunakan awalan meN (me, mem, men, meng, meny, menge) semasa bercakap. Namun, apabila kita menulis karangan, kata kerja transitif (kata kerja yang mempunyai objek) mestilah berawalan meN dalam ayat penyata. Lihatlah contoh-contoh yang berikut.

1 Dia beli senaskhah surat khabar dari gerai itu. [salah]
Penerangan:
Kata 'beli' dalam ayat 1 ialah kata kerja transitif kerana mempunyai objek, iaitu 'senaskah surat khabar'. Menurut hukum tatabahasa, kata kerja transitif perlu berawalan meN dalam ayat penyata. Oleh hal yang demikian, ayat 1 dianggap salah. Pembetulannya adalah seperti ayat 2.

2 Dia membeli senaskhah surat khabar dari gerai itu. [betul]

Contoh-contoh lain ditunjukkan di bawah ini.

3 a) Kami ingin pohon jawatan kosong itu. [salah]
b) Kami ingin memohon jawatan kosong itu. [betul]

4 a) Hassan suka rasa laksa yang dimasak oleh ibunya. [salah]
b) Hassan suka merasa laksa yang dimasak oleh ibunya. [betul]

5 a) Dia banyak dapat hadiah pada hari jadinya. [salah]
b) Dia banyak mendapat hadiah pada hari jadinya. [betul]

6 a) Johari gunakan tangan kiri semasa menulis sesuatu. [salah]
b) Johari menggunakan tangan kiri semasa menulis sesuatu. [betul]

7 a) Saya tulis sepucuk surat kepada abang kelmarin. [salah]
b) Saya menulis sepucuk surat kepada abang kelmarin. [betul]

8 a) Pustakawan itu sedang susun buku. [salah]
b) Pustakawan itu sedang menyusun buku. [betul]

9 a) Ayah akan cat pagar esok. [salah]
b) Ayah akan mengecat pagar esok. [betul]

10 a) Kapten bola sepak itu julang piala yang dimenangi oleh pasukannya. [salah]
b) Kapten bola sepak itu menjulang piala yang dimenangi oleh pasukannya. [betul]

Terdapat pengecualian tentang hukum tersebut, iaitu perkataan 'makan' and 'minum' boleh digunakan tanpa awalan meN dalam ayat penyata.
Contoh-contohnya:
11 Saya suka makan mi goreng.
12 Adik minum susu setiap hari.

Jika kata ganti nama 'nya' terdapat di belakang 'makan' atau 'minum', awalan meN perlu disertakan. Lihatlah contoh-contoh yang berikut:
13 a) Dia makannya secara gelojoh. [salah]
b) Dia memakannya secara gelojoh. [betul]

14 a) Lina minumnya dengan segera. [salah]
b) Lina meminumnya dengan segera. [betul]


Jawaban untuk Latihan 1
Latihan 1
Isikan kata pemeri 'ialah' atau 'adalah' ke dalam tempat-tempat kosong yang berikut.
1 Kejayaan Ahmad dalam peperiksaan itu __adalah______ di luar sangkaan saya.
2 Hadiah yang saya pegang ini ___adalah________ untuk adikmu.
3 Jambatan Pulau Pinang ___ialah_______ yang terpanjang di Malaysia.
4 Kelakuan Aminah ____adalah________ seperti kakaknya.
5 Johari ___ialah________ pegawai kastam yang cekap.
6 Halaman web ini _____ialah_______ hasil Cikgu Yeoh.
7 Kereta mewah ini ____ialah_______ milik orang kaya itu.
8 Rumah ini ____adalah________ tidak terlalu mahal.
9 Amin _____ialah______ kemananakanku.
10 Meja ini ____adalah_________ daripada kayu jati.

Tuesday 17 May 2011

Penggunaan 'ialah' dan 'adalah'

Dalam halaman pertama ini, saya ingin menerangkan penggunaan kata pemeri 'ialah' dan 'adalah' yang sering menimbulkan keliruan dalam kalangan pelajar dan pengguna bahasa Melayu.

Kata pemeri ialah digunakan di hadapan frasa nama dan frasa nama yang dimulai 'yang'. Lihatlah contoh-contoh yang berikut:

1 Kassim ialah pelajar yang rajin.
[Dalam ayat di atas, pelajar yang rajin ialah frasa nama]
2 Bangunan ini ialah yang tertinggi di negara kita.
['yang tertinggi di negara kita' dalam ayat di atas ialah frasa nama yang dimulai 'yang']

Kata pemeri adalah digunakan di hadapan frasa sendi nama dan frasa adjektif. Yang berikut ialah dua contoh penggunaan 'adalah'.
1 Bungkusan ini adalah daripada abangku.
[Dalam ayat di atas, daripada abangku ialah frasa sendi nama kerana 'daripada' merupakan kata sendi nama]

2 Baju yang saya pakai ini adalah sangat mahal.
[Dalam ayat di atas, sangat mahal ialah frasa adjektif kerana 'mahal' merupakan kata adjektif.]

Sekarang cubalah latihan yang berikut.

Latihan 1
Isikan kata pemeri 'ialah' atau 'adalah' ke dalam tempat-tempat kosong yang berikut.
1 Kejayaan Ahmad dalam peperiksaan itu ________ di luar sangkaan saya.
2 Hadiah yang saya pegang ini ___________ untuk adikmu.
3 Jambatan Pulau Pinang __________ yang terpanjang di Malaysia.
4 Kelakuan Aminah ____________ seperti kakaknya.
5 Johari ___________ pegawai kastam yang cekap.
6 Halaman web ini ____________ hasil Cikgu Yeoh.
7 Kereta mewah ini ___________ milik orang kaya itu.
8 Rumah ini ____________ tidak terlalu mahal.
9 Amin ___________ kemananakanku.
10 Meja ini _____________ daripada kayu jati.

Jawaban akan saya berikan dalam pos yang akan datang.