Showing posts with label Penggunaan kata yang betul. Show all posts
Showing posts with label Penggunaan kata yang betul. Show all posts

Thursday, 16 June 2011

Kata bilangan 'para' hanya untuk orang dewasa yang dihormati

laDalam bahasa Melayu, kata bilangan 'para' hanya digunakan untuk orang dewasa yang dihormati . Lihat kesalahan penggunaan perkataan ini dalam ayat-ayat yang berikut dan pembetulannya.

1 a) Para kanak-kanak suka makan gula-gula kerana manis rasanya. [salah]
b) Semua kanak-kanak suka makan gula-gula kerana manis rasanya. [betul]
Penghuraian: Dalam ayat 1 a, kanak-kanak ialah budak yang belum dewasa. Oleh itu, 'para' tidak boleh mendahului 'kanak-kanak'.

2 a) Para banduan dikehendaki bekerja selama tiga jam sehari. [salah]
b) Semua banduan dikehendaki bekerja selama tiga jam sehari. [betul]
Penghuraian: Banduan ialah pesalah yang dikurung di penjara. Mereka telah melakukan jenayah dan tidak dihormati anggota masyarakat. Oleh itu, 'para' tidak boleh digunakan di hadapan 'banduan' sebagai kata kilangannya.

Monday, 30 May 2011

Kata kerja tak transitif yang perlu disertai awalan meN

Dalam bahasa Melayu, terdapat sesetengah kata kerja tak transitif yang perlu disertai awalam meN. Di sini akan saya bincangkan empat daripadanya.

1 melompat
Perkataan ini perlu didahului awalan meN supaya betul.
a) Adik suka lompat di atas lantai. [salah]
Adik suka melompat di atas lantai. [betul]
b) Jangan lompat di sana sini kerana lantainya licin. [salah]
Jangan melompat di sana sini kerana lantainya licin. [betul]

2 menari
Kata di atas juga perlu disertai awalan meN.
a) Kakak suka tari pada masa lapangnya. [salah]
Kakak suka menari pada masa lapangnya. [betul]
b) Jangan tari di atas lantai yang licin ini. [salah]
Jangan menari di atas lantai yang licin ini. [betul]

3 membazir
Kata kerja tak transitif di atas akan dianggap betul jika didahului awalan meN.
a) Jangan bazir semasa menggunakan air. [salah]
Jangan membazir semasa menggunakan air. [betul]
b) Adik suka bazir semasa menggunakan kertas. [salah]
Adik suka membazir semasa menggunakan kertas. [betul]

4 menangis
Kata 'menangis' tidak betul jika tidak disertai awalan meN.
a) 'Usah tangis lagi, adik," kata Ali kepada adiknya. [salah]
'Usah menangis algi, adik," kata Ali kepada adiknya. [betul]
b) Aminah suka tangis apabila mengenangi arwah ibunya. [salah]
Aminah suka menangis apabila mengenangi arwah ibunya. [betul]

Yang berikut ialah jawapan untuk Latihan 4

Latihan 4 [Jawapan]
Isikan kata 'pinjam' atau kata berimbuhan yang melibatkan 'pinjam' ke dalam tempat-tempat kosong di bawah ini:
1 Kamera itu akan saya __pinjamkan______ kepada adikku.
2 Novel ini saya __pinjam____ daripada Azman.
3 Zamri ___dipinjami_________ kawannya dua ringgit untuk membeli makanan di kantin.
4 __Peminjaman_____ alat perakam video itu akan saya lakukan secepat mungkin.
5 Buku ceritaku __dipinjam___ oleh anak jiran kelmarin.
6 Basikalku ___dipinjamkan____ oleh abang kepada kawannya.
7 Saya akan __meminjami____ Ali buku nota Sains kerana dia tidak hadir ke sekolah kelmarin.
8 Hassan akan saya __pinjami____ kamera ini supaya dia dapat mengambil gambar untuk projeknya.
9 Beg ini akan saya ___pinjamkan___ kepada Hasnah.
10 Johari __meminjam____ basikal daripada kawannya.

Thursday, 26 May 2011

Penggunaan kata berimbuhan yang melibatkan 'pinjam'

Saya akan membincangkan penggunaan 'pinjam' and kata berimbuhan yang berkaitan dengannya dalam pos pada hari ini.

Untuk memudahkan pelajar mengingat penggunaannya, saya akan menggunakan formula.

1 pinjam
Formula: Benda + akan + saya + pinjam + dari +tempat /daripada+ orang
Contoh: Buku itu akan saya pinjam dari perpustakaan.
Basikal itu akan saya pinjam daripada anak jiran saya.

2 meminjam
Formula: Orang pertama+ akan + meminjam + benda + dari +tempat /daripada+ orang kedua
Contoh: Saya akan meminjam buku itu dari perpustakaan.
Johari akan meminjam basikal itu daripada Beng Seng.

3 meminjamkan
Formula: Orang pertama+ akan + meminjamkan +benda + kepada + orang kedua
Contoh: Ali akan meminjamkan komputer ribanya kepada kakaknya.

4 meminjami
Formula: Orang pertama+ akan +meminjami + orang kedua+ benda
Contoh: Saya akan meminjami adik kamera saya.

6 dipinjamkan
Formula: Benda + akan + dipinjamkan+ oleh + orang pertama + kepada + orang kedua
Contoh: Buku itu akan dipinjamkan oleh Ahmad kepada kawannya.

7 dipinjami
Formula: Orang pertama+ akan + dipinjami + orang kedua + benda
Contoh: Johari akan dipinjami kawannya wang seringgit.

8 pinjami
Formula: Orang+ akan + saya / awak + pinjami + benda
Contoh: Azmi akan saya pinjami buku saya ini.
Johari akan awak pinjami notamu.

9 pinjamkan
Formula: Benda + akan + saya /awak + pinjamkan+ kepada + orang
Contoh: Buku itu akan saya pinjamkan kepada Lina.
Basikal itu akan awak pinjamkan kepada abangku.

10 peminjaman
Formula: a) Peminjaman + wang / benda + dari + tempat / daripada + orang + akan + saya / awak lakukan
b) Peminjaman + wang / benda + dari + tempat / daripada + orang + akan + dilakukan + oleh + orang
Contoh: a) Peminjaman wang dari banak itu akan saya lakukan esok.
b) Peminjaman alat sukan akan dilakukan oleh Setiausaha Sukan daripada Pengelola Stor itu.


Latihan 4
Isikan kata 'pinjam' atau kata berimbuhan yang melibatkan 'pinjam' ke dalam tempat-tempat kosong di bawah ini:
1 Kamera itu akan saya ________ kepada adikku.
2 Novel ini saya ___________ daripada Azman.
3 Zamri ____________ kawannya dua ringgit untuk membeli makanan di kantin.
4 ____________ alat perakam video itu akan saya lakukan secepat mungkin.
5 Buku ceritaku __________ oleh anak jiran kelmarin.
6 Basikalku __________ oleh abang kepada kawannya.
7 Saya akan ___________ Ali buku nota Sains kerana dia tidak hadir ke sekolah kelmarin.
8 Hassan akan saya ___________ kamera ini supaya dia dapat mengambil gambar untuk projeknya.
9 Beg ini akan saya _____________ kepada Hasnah.
10 Johari __________ basikal daripada kawannya.



Latihan 3 [Jawapan]
Isikan kata nafi 'tidak' atau 'bukan' ke dalam tempat-tempat kosong di bawah ini.
1. Gopal ___bukan________ seorang pengakap.
2 Adik ____tidak_______ suka minum air kopi.
3 Rumahnya ___tidak________ berapa jauh dari sini.
4 ___Tidak_____ benar apa-apa yang dikatakannya tadi.
5 Yang saya pegang ini ____bukan_______ telefon bimbit saya.
6 Kelakuan Aminah ___bukan_______ seperti kakaknya.
7 Novel ini _____bukan_______ oleh Shahnon Ahmad.
8 Ikan yang ditangkapnya ____tidak______ besar.
9 Hadiah ini ____bukan______ untuk saudara.
10 Kotak ini ___tidak_______ berat.

Wednesday, 25 May 2011

Kata Nafi 'tidak' dan 'bukan'

Dalam pos hari ini, saya akan membincangkan penggunaan kata nafi 'tidak' dan 'bukan'.

Kata nafi 'tidak' digunakan di hadapan:
a) Frasa Kerja
Contoh: Dia tidak menyiapkan kerjanya.
(kata nafi) (frasa kerja)

b) Frasa Adjektif
Contoh: Kasut ini tidak berapa mahal.
(kata nafi) (frasa adjektif)

Kata nafi 'bukan' pula digunakan di hadapan:
a) Frasa Nama
Contoh: Orang itu bukan abang saya.
(kata nafi) (frasa nama)

b) Frasa Sendi Nama
Contoh: Surat ini bukan daripada kakak saya.
(kata nafi) (frasa sendi nama)

Latihan 3
Isikan kata nafi 'tidak' atau 'bukan' ke dalam tempat-tempat kosong di bawah ini.
1. Gopal ___________ seorang pengakap.
2 Adik ___________ suka minum air kopi.
3 Rumahnya ___________ berapa jauh dari sini.
4 ________ benar apa-apa yang dikatakannya tadi.
5 Yang saya pegang ini ___________ telefon bimbit saya.
6 Kelakuan Aminah __________ seperti kakaknya.
7 Novel ini ____________ oleh Shahnon Ahmad.
8 Ikan yang ditangkapnya __________ besar.
9 Hadiah ini __________ untuk saudara.
10 Kotak ini __________ berat.

Sekian untuk hari ini.




Sunday, 22 May 2011

Perbezaan antara 'menyanyi' dengan 'menyanyikan'

Dalam halaman hari ini, saya ingin membincangkan perbezaan antara 'menyanyi' dengan 'menyanyikan'.

Perkataan 'menyanyi' bermakna 'melagukan gubahan muzik dengan suara'. Oleh sebab perkataan ini merupakan kata kerja tak transitif, tiada objek diperlukan. Lihatlah contoh-contoh yang berikut:
1 Kakak suka menyanyi semasa mandi di dalam bilik air.
2 Pelajar itu menyanyi untuk melepaskan tekanan jiwanya.
3 Kita boleh belajar menyanyi dengan mendengar lagu yang dimainkan melalui komputer.

Perkataan 'menyanyikan' pula membawa maksud 'melagukan (dengan nyanyi, iaitu gubahan muzik) dan memerlukan objek 'lagu' kerana tergolongan dalam kata kerja transitif. Contoh-contohnya adalah seperti yang berikut:
1 Abang sering menyanyikan lagu kegemarannya pada masa lapang.
2 Biduanita itu menyanyikan sebuah lagu yang mengasyikkan.

Oleh sebab itu, adalah salah jika pelajar membina ayat-ayat yang berikut:
1 Saya gemar menyanyi lagu ini.
2 Gopal menyanyi lagu itu pada hari lahirnya.

Sepatutnya ayat 1 dan ayat 2 dibetulkan seperti yang berikut:
1 a) Saya gemar menyanyikan lagu ini.
2 a) Gopal menyanyikan lagu itu pada hari lahirnya.