Thursday 19 May 2011

Ayat Inti

Ayat Inti ialah ayat yang paling ringkas, iaitu terdiri daripada satu subjek and satu predikat sahaja. Dalam bahasa Melayu, terdapat empat pola ayat inti.

Pola 1: Frasa Nama - Frasa Nama
Contoh: a) Saya pelajar.
b) Orang itu pegawai polis.
Penerangan: Kata Ganti Nama Diri 'Saya' ialah Frasa Nama kerana dapat bertindak sebagai Subjek dalam ayat. Begitu juga halnya dengan 'pelajar'. Dalam ayat b, 'Orang itu' dan 'pegawai polis' merupakan frasa nama juga.

Pola 2: Frasa Nama - Frasa Sendi Nama
Contoh: a) Kami dari Ipoh.
b) Surat ini daripada sahabat penaku.
Penerangan: Dalam ayat a, 'dari Ipoh' ialah frasa sendi nama kerana 'dari' ialah kata sendi nama. 'daripada sahabat penaku' juga merupakan frasa sendi nama kerana dimulai kata sendi nama 'daripada'.

Pola 3: Frasa Nama - Frasa Adjektif
Contoh: a) Mereka gemuk.
b) Baju ini terlalu mahal.
Penerangan: Kata adjektif 'gemuk' ialah frasa adjektif kerana dapat bertindak sebagai predikat. Dalam ayat b, 'terlalu mahal' ialah frasa adjektif kerana mengandungi kata adjektif 'mahal'.

Pola 4: Frasa Nama - Frasa Kerja
Contoh: a) Adikku menangis.
b) Buruh itu sedang membaiki jalan.
Penerangan: Dalam ayat a, walaupun kata kerja 'menangis' ialah satu perkataan sahaja tetapi merupakan frasa kerja kerana dapat berfungsi sebagai predikat. Dalam ayat b, 'sedang membaiki jalan' ialah frasa kerja kerana mengandungi kata kerja 'membaiki'.

Sekarang, cubalah latihan yang berikut:

Latihan 2
Nyatakan pola ayat inti untuk ayat-ayat yang berikut:
1 Kelakuan Lisa seperti ibunya.
2 Johari kurus.
3 Buku ini buku rujukan.
4 Ikan ini sungguh besar.
5 Mereka berenang.
6 Hadiah ini untuk saudara.
7 Meja ini daripada besi.
8 Encik Lee tukang kayu.
9 Ibuku sedang mencuci baju.
10 Novcl ini oleh Shahnon Ahmad.

No comments:

Post a Comment