Thursday 26 January 2017

Latihan Bahasa Melayu PT3 Siri 2

Latihan Bahasa Melayu PT3 Siri 2
Dalam penulisan hari ini, saya akan membincangkan kesalahan tatabahasa yang melibatkan ketinggalan penjodoh bilangna selepas sesetengah kata bilangan. Dalam bahasa Melayu, kata bilangan seperti dua, kedua-dua, beberapa dan berpuluh-puluh perlu disertai penjodoh bilangan jika kata nama konkrit menurutinya. Kata nama konkrit ialah kata nama yang dapat dilihat atau disentuh.

Contoh 1
Dua pelajar itu dihukum oleh guru disiplin. [Salah]
Dua orang pelajar itu dihukum oleh guru disiplin. [Betul]
(Dalam ayat di atas, kata bilangan ‘dua’ dituruti kata nama konkrit ‘pelajar’. Oleh itu, penjodoh bilangan perlu disisipkan di antara dua perkataan tersebut.)

Contoh 2
Kedua-dua pemuda itu diberkas polis kerana mengedarkan dadah. [Salah]
Kedua-dua orang  pemuda itu diberkas polis kerana mengedarkan dadah. [Betul]

Contoh 3
Beberapa jalan akan ditutup semasa perarakan itu diadakan. [Salah]
Beberapa batang jalan akan ditutup semasa perarakan itu diadakan. [Betul]

Contoh 4
Berpuluh-puluh surat ditulisnya untuk memohon jawatan tetapi tidak berjaya. [Salah]
Berpuluh-puluh pucuk surat ditulisnya untuk memohon jawatan tetapi  tidak berjaya [Betul]

Sekarang cubalah latihan yang berikut.

Latihan
Garisi kesalahan tatabahasa dalam setiap ayat yang berikut dan buat pembetulan di ruang yang disedikan.
1 Lima buku saya beli di kedai itu. ______________
2 Ketiga-tiga pelajar itu ponteng sekolah kelmarin. ______________
3 Beberapa buah epal dibelinya di gerai itu. _______________
4 Beratus-ratus penduduk kehilangan rumah mereka dalam bencana alam itu. _____________
5 Hanya enam pelajar lulus dalam ujian ini. _______________
6 Kelapan-lapan kambing ini akan disembelih. ____________
7 Beberapa novel sudah dibacanya dalam bulan ini. ________________
8 Beribu-ribu risalah tentang demam denggi dicetak untuk diedarkan kepada orang ramai.

Jawapan untuk Latihan Siri 1
1  Dia enggan ubah sikap buruknya. ___mengubah________
2 Jangan mengikut kelakuannya yang kurang sopan itu. ____ikut________
3 Mereka sudah siapkan kerja itu. _____menyiapkan________
4 Tolong membuka pintu itu. _____buka________
5 Lina belum jelaskan yuran kelab ini. _____menjelaskan________
6 Usah mengacuhkan sindirannya. ____acuhkan_______
7 Kami akan tonton wayang ini nanti. ___menonton______

8 Sila menulis nama anda di sini. _____tulis________

   _____________

Jawapn untuk hari ini:
Latihan
Garisi kesalahan tatabahasa dalam setiap ayat yang berikut dan buat pembetulan di ruang yang disedikan.
1 Lima buku saya beli di kedai itu. _Lima buah buku___
2 Ketiga-tiga pelajar itu ponteng sekolah kelmarin. Ketiga-tiga orang pelajar
3 Beberapa buah epal dibelinya di gerai itu. Beberapa biji buah epal
4 Beratus-ratus penduduk kehilangan rumah mereka dalam bencana alam itu. Beratus-ratus orang
   penduduk 
5 Hanya enam pelajar lulus dalam ujian ini. enam orang pelajar
6 Kelapan-lapan kambing ini akan disembelih. Kelapan-lapan ekor kambing
7 Beberapa novel sudah dibacanya dalam bulan ini. Beberapa buah novel
8 Beribu-ribu risalah tentang demam denggi dicetak untuk diedarkan kepada orang ramai.
   Beribu-ribu naskhah risalah

Wednesday 25 January 2017

Latihan Bahasa Melayu PT3 Siri 1

Dalam PT3, untuk mata pelajaran Bahasa Melayu, pelajar dikehndaki mengenal pasti kesalahan tatabahasa, mengenal pasti kesalahan ejaan, menjawab soalan sintaksis dan peribahasa.

Dalam penulisan saya pada hari ini saya akan menumpukan kesalahan tatabahasa. Sebagai permulaan saya akan membincangkan kesalahan dari segi ketinggalan awalan meN (me, mem, men, meng, menge, meny) pada kata kerja transitif dalam ayat penyata dan penggunaan awalan meN dalam ayat perintah..

Dalam bahasa Melayu, kata kerja transitif dalam ayat penyata mestilah berawalan meN. Sebaliknya, dalam ayat perintah kata kerja transitif tidak boleh berawalan meN.

Contoh kesalahan 1
Lina cuci pakaian setiap hari. [Salah]
Lina mencuci pakaian setiap hari. [Betul]

Contoh kesalahan 2
Jangan membeli makanan kotor di tepi jalan. [Salah]
Jangan beli makanan kotor di tepi jalan. [Betul]

Contoh kesalahan 3
Sila mengambil senaskhah risalah ini. [Salah]
Sila ambil senaskhah risalah ini. [Betul]

Contoh kesalahan 4
Tolong mendapatkan saya sebuah kamus bahasa Melayu yang baik.[Salah]
Tolong dapatkan saya sebuah kamus bahasa Melayu yang baik. [Betul]

Contoh kesalahan 5
Usah menghiraukan ejekan lelaki itu. [Salah]
Usah hiraukan ejekan lelaki itu. [Betul]

Latihan
Garisi kesalahan tatabahasa dalam ayat-ayat yang berikut dan tulis pembetulan di ruang yang disediakan.
1  Dia enggan ubah sikap buruknya. ___________
2 Jangan mengikut kelakuannya yang kurang sopan itu. ____________
3 Mereka sudah siapkan kerja itu. _____________
4 Tolong membuka pintu itu. _____________
5 Lina belum jelaskan yuran kelab ini. _____________
6 Usah mengacuhkan sindirannya. ___________
7 Kami akan tonton wayang ini nanti. _________
8 Sila menulis nama anda di sini. _____________

Sekian untuk hari ini.