Monday 30 May 2011

Kata kerja tak transitif yang perlu disertai awalan meN

Dalam bahasa Melayu, terdapat sesetengah kata kerja tak transitif yang perlu disertai awalam meN. Di sini akan saya bincangkan empat daripadanya.

1 melompat
Perkataan ini perlu didahului awalan meN supaya betul.
a) Adik suka lompat di atas lantai. [salah]
Adik suka melompat di atas lantai. [betul]
b) Jangan lompat di sana sini kerana lantainya licin. [salah]
Jangan melompat di sana sini kerana lantainya licin. [betul]

2 menari
Kata di atas juga perlu disertai awalan meN.
a) Kakak suka tari pada masa lapangnya. [salah]
Kakak suka menari pada masa lapangnya. [betul]
b) Jangan tari di atas lantai yang licin ini. [salah]
Jangan menari di atas lantai yang licin ini. [betul]

3 membazir
Kata kerja tak transitif di atas akan dianggap betul jika didahului awalan meN.
a) Jangan bazir semasa menggunakan air. [salah]
Jangan membazir semasa menggunakan air. [betul]
b) Adik suka bazir semasa menggunakan kertas. [salah]
Adik suka membazir semasa menggunakan kertas. [betul]

4 menangis
Kata 'menangis' tidak betul jika tidak disertai awalan meN.
a) 'Usah tangis lagi, adik," kata Ali kepada adiknya. [salah]
'Usah menangis algi, adik," kata Ali kepada adiknya. [betul]
b) Aminah suka tangis apabila mengenangi arwah ibunya. [salah]
Aminah suka menangis apabila mengenangi arwah ibunya. [betul]

Yang berikut ialah jawapan untuk Latihan 4

Latihan 4 [Jawapan]
Isikan kata 'pinjam' atau kata berimbuhan yang melibatkan 'pinjam' ke dalam tempat-tempat kosong di bawah ini:
1 Kamera itu akan saya __pinjamkan______ kepada adikku.
2 Novel ini saya __pinjam____ daripada Azman.
3 Zamri ___dipinjami_________ kawannya dua ringgit untuk membeli makanan di kantin.
4 __Peminjaman_____ alat perakam video itu akan saya lakukan secepat mungkin.
5 Buku ceritaku __dipinjam___ oleh anak jiran kelmarin.
6 Basikalku ___dipinjamkan____ oleh abang kepada kawannya.
7 Saya akan __meminjami____ Ali buku nota Sains kerana dia tidak hadir ke sekolah kelmarin.
8 Hassan akan saya __pinjami____ kamera ini supaya dia dapat mengambil gambar untuk projeknya.
9 Beg ini akan saya ___pinjamkan___ kepada Hasnah.
10 Johari __meminjam____ basikal daripada kawannya.

No comments:

Post a Comment