Thursday 26 January 2017

Latihan Bahasa Melayu PT3 Siri 2

Latihan Bahasa Melayu PT3 Siri 2
Dalam penulisan hari ini, saya akan membincangkan kesalahan tatabahasa yang melibatkan ketinggalan penjodoh bilangna selepas sesetengah kata bilangan. Dalam bahasa Melayu, kata bilangan seperti dua, kedua-dua, beberapa dan berpuluh-puluh perlu disertai penjodoh bilangan jika kata nama konkrit menurutinya. Kata nama konkrit ialah kata nama yang dapat dilihat atau disentuh.

Contoh 1
Dua pelajar itu dihukum oleh guru disiplin. [Salah]
Dua orang pelajar itu dihukum oleh guru disiplin. [Betul]
(Dalam ayat di atas, kata bilangan ‘dua’ dituruti kata nama konkrit ‘pelajar’. Oleh itu, penjodoh bilangan perlu disisipkan di antara dua perkataan tersebut.)

Contoh 2
Kedua-dua pemuda itu diberkas polis kerana mengedarkan dadah. [Salah]
Kedua-dua orang  pemuda itu diberkas polis kerana mengedarkan dadah. [Betul]

Contoh 3
Beberapa jalan akan ditutup semasa perarakan itu diadakan. [Salah]
Beberapa batang jalan akan ditutup semasa perarakan itu diadakan. [Betul]

Contoh 4
Berpuluh-puluh surat ditulisnya untuk memohon jawatan tetapi tidak berjaya. [Salah]
Berpuluh-puluh pucuk surat ditulisnya untuk memohon jawatan tetapi  tidak berjaya [Betul]

Sekarang cubalah latihan yang berikut.

Latihan
Garisi kesalahan tatabahasa dalam setiap ayat yang berikut dan buat pembetulan di ruang yang disedikan.
1 Lima buku saya beli di kedai itu. ______________
2 Ketiga-tiga pelajar itu ponteng sekolah kelmarin. ______________
3 Beberapa buah epal dibelinya di gerai itu. _______________
4 Beratus-ratus penduduk kehilangan rumah mereka dalam bencana alam itu. _____________
5 Hanya enam pelajar lulus dalam ujian ini. _______________
6 Kelapan-lapan kambing ini akan disembelih. ____________
7 Beberapa novel sudah dibacanya dalam bulan ini. ________________
8 Beribu-ribu risalah tentang demam denggi dicetak untuk diedarkan kepada orang ramai.

Jawapan untuk Latihan Siri 1
1  Dia enggan ubah sikap buruknya. ___mengubah________
2 Jangan mengikut kelakuannya yang kurang sopan itu. ____ikut________
3 Mereka sudah siapkan kerja itu. _____menyiapkan________
4 Tolong membuka pintu itu. _____buka________
5 Lina belum jelaskan yuran kelab ini. _____menjelaskan________
6 Usah mengacuhkan sindirannya. ____acuhkan_______
7 Kami akan tonton wayang ini nanti. ___menonton______

8 Sila menulis nama anda di sini. _____tulis________

   _____________

Jawapn untuk hari ini:
Latihan
Garisi kesalahan tatabahasa dalam setiap ayat yang berikut dan buat pembetulan di ruang yang disedikan.
1 Lima buku saya beli di kedai itu. _Lima buah buku___
2 Ketiga-tiga pelajar itu ponteng sekolah kelmarin. Ketiga-tiga orang pelajar
3 Beberapa buah epal dibelinya di gerai itu. Beberapa biji buah epal
4 Beratus-ratus penduduk kehilangan rumah mereka dalam bencana alam itu. Beratus-ratus orang
   penduduk 
5 Hanya enam pelajar lulus dalam ujian ini. enam orang pelajar
6 Kelapan-lapan kambing ini akan disembelih. Kelapan-lapan ekor kambing
7 Beberapa novel sudah dibacanya dalam bulan ini. Beberapa buah novel
8 Beribu-ribu risalah tentang demam denggi dicetak untuk diedarkan kepada orang ramai.
   Beribu-ribu naskhah risalah

No comments:

Post a Comment