Wednesday 18 May 2011

Kata kerja dalam ayat penyata perlu berawalan meN

Untuk hari ini, saya ingin membincangkan kesalahan penggunaan bahasa.

Biasanya, kita tidak menggunakan awalan meN (me, mem, men, meng, meny, menge) semasa bercakap. Namun, apabila kita menulis karangan, kata kerja transitif (kata kerja yang mempunyai objek) mestilah berawalan meN dalam ayat penyata. Lihatlah contoh-contoh yang berikut.

1 Dia beli senaskhah surat khabar dari gerai itu. [salah]
Penerangan:
Kata 'beli' dalam ayat 1 ialah kata kerja transitif kerana mempunyai objek, iaitu 'senaskah surat khabar'. Menurut hukum tatabahasa, kata kerja transitif perlu berawalan meN dalam ayat penyata. Oleh hal yang demikian, ayat 1 dianggap salah. Pembetulannya adalah seperti ayat 2.

2 Dia membeli senaskhah surat khabar dari gerai itu. [betul]

Contoh-contoh lain ditunjukkan di bawah ini.

3 a) Kami ingin pohon jawatan kosong itu. [salah]
b) Kami ingin memohon jawatan kosong itu. [betul]

4 a) Hassan suka rasa laksa yang dimasak oleh ibunya. [salah]
b) Hassan suka merasa laksa yang dimasak oleh ibunya. [betul]

5 a) Dia banyak dapat hadiah pada hari jadinya. [salah]
b) Dia banyak mendapat hadiah pada hari jadinya. [betul]

6 a) Johari gunakan tangan kiri semasa menulis sesuatu. [salah]
b) Johari menggunakan tangan kiri semasa menulis sesuatu. [betul]

7 a) Saya tulis sepucuk surat kepada abang kelmarin. [salah]
b) Saya menulis sepucuk surat kepada abang kelmarin. [betul]

8 a) Pustakawan itu sedang susun buku. [salah]
b) Pustakawan itu sedang menyusun buku. [betul]

9 a) Ayah akan cat pagar esok. [salah]
b) Ayah akan mengecat pagar esok. [betul]

10 a) Kapten bola sepak itu julang piala yang dimenangi oleh pasukannya. [salah]
b) Kapten bola sepak itu menjulang piala yang dimenangi oleh pasukannya. [betul]

Terdapat pengecualian tentang hukum tersebut, iaitu perkataan 'makan' and 'minum' boleh digunakan tanpa awalan meN dalam ayat penyata.
Contoh-contohnya:
11 Saya suka makan mi goreng.
12 Adik minum susu setiap hari.

Jika kata ganti nama 'nya' terdapat di belakang 'makan' atau 'minum', awalan meN perlu disertakan. Lihatlah contoh-contoh yang berikut:
13 a) Dia makannya secara gelojoh. [salah]
b) Dia memakannya secara gelojoh. [betul]

14 a) Lina minumnya dengan segera. [salah]
b) Lina meminumnya dengan segera. [betul]


Jawaban untuk Latihan 1
Latihan 1
Isikan kata pemeri 'ialah' atau 'adalah' ke dalam tempat-tempat kosong yang berikut.
1 Kejayaan Ahmad dalam peperiksaan itu __adalah______ di luar sangkaan saya.
2 Hadiah yang saya pegang ini ___adalah________ untuk adikmu.
3 Jambatan Pulau Pinang ___ialah_______ yang terpanjang di Malaysia.
4 Kelakuan Aminah ____adalah________ seperti kakaknya.
5 Johari ___ialah________ pegawai kastam yang cekap.
6 Halaman web ini _____ialah_______ hasil Cikgu Yeoh.
7 Kereta mewah ini ____ialah_______ milik orang kaya itu.
8 Rumah ini ____adalah________ tidak terlalu mahal.
9 Amin _____ialah______ kemananakanku.
10 Meja ini ____adalah_________ daripada kayu jati.

No comments:

Post a Comment