Wednesday 18 January 2012

Golongan Kata dalam Bahasa Melayu

Menurut Tatabahasa Dewan, Edisi Keempat, semua perkataan dalam bahasa Melayu dapat digolongkan ke dalam empat kumpulan, iaitu Kata Nama (termasuk Kata Ganti Nama), Kata Kerja, Adjektif dan Kata Tugas.

Untuk hari ini, saya akan membincangkan kumpulan pertama, iaitu Kata Nama.

Kata Nama pula boleh dibahagikan kepada Kata Nama Am, Kata Nama Khas dan Kata Nama Terbitan.

Kata Nama Am ialah perkataan yang menamakan benda, orang, binatang dan tempat.

Contoh-contohnya termasuklah kereta (benda), askar (orang), badak (binatang) dan masjid (tempat)

Terdapat juga Kata Nama Am yang berupa benda abstrak. Contoh-contohnya ialah hari, umur, masa, tarikh, harga, nilai, tempoh, dan naluri.

Kata Nama Khas ialah perkataan yang menamakan benda, orang, binatang dan tempat yang khas. Contoh-contohnya ialah Proton Saga (benda), Hashim (orang), Sang Kancil (binatang) dan Menara Berkembar Petronas (tempat).

Bagi Kata Nama Terbitan pula, perkataan terdiri daripada perkataan yang terbentuk setelah mengalami pengimbuhan. Contoh-contohnya ialah makanan ('makan' + akhiran 'an'), pencuri ('curi + peN), kecantikan (cantik + ke_an), pencarian (cari + peN_an), dan pergaduhan (gaduh + per_an)

Latihan
Nyatakan jenis kata nama untuk perkataan yang bergaris dalam ayat-ayat yang berikut:
1 Rumah yang terletak di atas bukit itu besar. _________________
2 Pekedai itu mesra orangnya. ___________________
3 Hari ini hari Isnin. ________________
4 Banduan itu mencuba membolos dari penjara itu. ____________
5 Pelanggaran peraturan sekolah sering dilakukan oleh pelajar yang nakal. ____________
6 Broker itu menerima dalal daripada pembeli rumah itu. _____________
7 Pulau Pinang ialah negeri yang kecil. ______________
8 Pengemis itu meminta sedekah daripada orang ramai. ________________
9 Si Comel ialah kucing peliharan adikku. _________________
10 Krishnan mempunyai menantu yang baik kelakuannya. _____________

No comments:

Post a Comment