Sunday 22 May 2011

Perbezaan antara 'menyanyi' dengan 'menyanyikan'

Dalam halaman hari ini, saya ingin membincangkan perbezaan antara 'menyanyi' dengan 'menyanyikan'.

Perkataan 'menyanyi' bermakna 'melagukan gubahan muzik dengan suara'. Oleh sebab perkataan ini merupakan kata kerja tak transitif, tiada objek diperlukan. Lihatlah contoh-contoh yang berikut:
1 Kakak suka menyanyi semasa mandi di dalam bilik air.
2 Pelajar itu menyanyi untuk melepaskan tekanan jiwanya.
3 Kita boleh belajar menyanyi dengan mendengar lagu yang dimainkan melalui komputer.

Perkataan 'menyanyikan' pula membawa maksud 'melagukan (dengan nyanyi, iaitu gubahan muzik) dan memerlukan objek 'lagu' kerana tergolongan dalam kata kerja transitif. Contoh-contohnya adalah seperti yang berikut:
1 Abang sering menyanyikan lagu kegemarannya pada masa lapang.
2 Biduanita itu menyanyikan sebuah lagu yang mengasyikkan.

Oleh sebab itu, adalah salah jika pelajar membina ayat-ayat yang berikut:
1 Saya gemar menyanyi lagu ini.
2 Gopal menyanyi lagu itu pada hari lahirnya.

Sepatutnya ayat 1 dan ayat 2 dibetulkan seperti yang berikut:
1 a) Saya gemar menyanyikan lagu ini.
2 a) Gopal menyanyikan lagu itu pada hari lahirnya.

No comments:

Post a Comment